Penubuhan
Penubuhan SRINPEK pada Januari 1999 dimulakan dengan pengambilan seramai 72 orang pelajar tahun 1 bersama 6
orang tenaga pengajar. Setiap tahun, satu darjah ditambah dan sehingga tahun 2004 terdapat 12 buah kelas daripada
tahun 1 hingga tahun 6 telah berjaya diwujudkan. Dengan ini sempurnalah penubuhan SRINPEK. Pada tahun 2004, seramai
40 orang pelajar tahun 6 telah menduduki UPSR buat julung-julung kalinya. Keputusan yang dicapai oleh mereka begitu membanggakan.
Selain daripada itu kebanyakan pelajar ini juga telah menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam peringkat negeri
Kedah yang melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah menengah agama terpilih di negeri Kedah khasnya.
Perkembangan
Kesedaran ibubapa dan masyarakat di dalam mendidik anak-anak mengikut lunas-lunas Islam banyak mendorong mereka untuk
menyekolahkan anak-anak mereka di SRINPEK. Alhamdulillah... sehingga kini, ada seramai 382 pelajar sedang belajar di
SRINPEK. SRINPEK adalah sekolah yang menawarkan pendidikan bersepadu mengabungkan matapelajaran akademik
dan pendidikan Islam. Di waktu ini SRINPEK beroperasi menggunakan sumber kewangan daripada yuran pelajar, derma
daripada orang ramai dan pemberian tahunan zakat negeri yang agak terhad jumlahnya. Walau bagaimanapun SRINPEK adalah
sekolah rendah Islam yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan satu-satunya sekolah
rendah Islam di kawasan Kedah Selatan ini.
Kedudukan Terkini
Kini (tahun 2008), SRINPEK mengendalikan 14 kelas iaitu 2 kelas untuk
setiap tahun pembelajaran kecuali 3 kelas untuk Tahun 1 dan 2. Seramai 33 orang guru lepasan Ijazah Sarjana Muda, diploma,
STPM dan SPM kini berkhidmat sepenuh masa mendidik 382 orang pelajar dibantu dengan 3 orang kakitangan sokongan.

|
Bangunan SRINPEK di Mukim Sungai Ular, Kulim |
Perancangan Masa Depan
Sebanyak 10 buah kelas, beberapa bilik guru dan pentadbiran juga kantin yang digunakan di SRINPEK adalah
disewa daripada Majlis Perbandaran Kulim (MPK). Sejumlah kos yang tinggi terpaksa dikeluarkan setiap bulan bagi membayar kadar
sewaan ini. Meskipun SRINPEK telah diberikan amanah tanah wakaf seluas 4.25 ekar daripada keluarga Penghulu Tok Elang
Kulim, bagi mendirikan sekolah di Lot 391, Mukim Sungai Ular, Kulim, Kedah. Namun belanja bagi mendirikan
bangunan sekolah sendiri amat tinggi (RM 2 juta) memandangkan 3/4 daripada tanah wakaf tersebut adalah kawasan berpaya.
Walaupun plan pembinaan sekolah telah lama siap, namun pembinaan bangunan ini terpaksa ditangguhkan sehingga dana
yang diperlukan mencukupi di samping mendapat kelulusan daripada pihak-pihak berkuasa tempatan.
Pihak Jawatankuasa PEMBANGUNAN SRINPEK bersama-sama PIBG kini
sedang berusaha bagi mengumpulkan dana dari setiap sumber yang halal sedang dijalankan bagi memastikan setiap
proses pendidikan Islam yang dianjurkan oleh SRINPEK dapat dilaksanakan dengan sempurna di bangunan SRINPEK sendiri.
Dengan kerjasama beberapa pihak mulai Julai 2007, empat
buah kelas Tahun 5 dan 6 telah mula berpindah ke bangunan tetap SRINPEK di Lot 391, Mukim Sungai
Ular.
Adalah diharapkan dengan pemindahan ini, pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan daripada pihak kerajaan serta pihak-pihak
tertentu dapat diperolehi bagi mendirikan bangunan sekolah di tanah wakaf berkenaan, Insya-Allah.
Haji Abdullah bin Idris. Merupakan mantan Guru Besar SRINPEK (1998 - Mac 2008). Pernah berkhidmat selama lebih 39
tahun sebagai tenaga pengajar di sekolah-sekolah rendah kebangsaan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang. Pernah menjadi Guru
Besar di beberapa buah sekolah di di sekitar Kulim, Kedah sebelum bersara pada tahun 1994. Pengalaman yang begitu lama di
alam pendidikan telah dicurahkan oleh beliau bagi memantapkan pembelajaran dan perjalanan SRINPEK agar menjadi sebuah sekolah
rendah Islam contoh di daerah Kedah Selatan ini khasnya.
Jawatan Guru Besar SRINPEK kini disandang oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Nadzir bin Yusak (lulusan
Universiti Al-Azhar, Mesir - pengkhususan Hadith)
|